Sunday, 25 February 2018

| Bagaimana Engkau Mencari Tenang? |

Ketika ketenangan telah ditarik oleh Allah daripada jiwamu, maka engkau akan mendapati bahawa kehidupanmu akan terasa amat sempit sekali.

Sehingga duduklah engkau semahunya dimana sahaja, ruang yang besar luas mahupun kecil sempit, ketika jiwa diasak ujian pasti akan terasa sempit.

Tidurmu tidak lena, makanmu ala kadar tidak mengenyangkan, fikiranmu sentiasa melayang sehingga solatmu tidak menemui khusyuk. Manakala anak isterimu pula terbiar tidak engkau layani.

Owh! Sempitnya jiwa ini. Bila agaknya ia akan berakhir?.

⚫ Akal Penentu Cara Mencari Ketenangan Jiwa

Sebenarnya kita ini sudut pandangnya berbeza beza dalam mencari ketenangan jiwa yang merupakan jalan tuntas menghadapi jiwa yang sedang sempit.

Yang gemar kepada muzik, alunan muzik yang didengari itulah seolah olah ketenangan yang menyusun semula jiwanya yang sempit.

Yang gemar mengadu kepada teman, teman temannya itulah diharap menjadi mata serta telinga yang setia kepada luahan segala isi jiwanya yang sedang sempit.

Ada yang menggemari yoga dan bagi mereka dengan yoga itulah mereka akan memperolehi ketenangan jiwa.

Dan berbagai cara lain yang dilakukan demi untuk meraih ketenangan jiwa.

Tidak dinafikan akan adanya ketenangan atau kelegaan jiwa yang mampu diperolehi daripada cara diatas, setidak tidaknya sedikit, tetapi apakah ianya ketenangan yang berpanjangan?

Jawapannya sudah semestinya tidak!  Selagi mana cara yang dilakukan untuk meraih ketenangan itu tidak bertepatan dengan apa yang telah diajarkan oleh Allah dan Rasul.

⚫ Cara Tuntas Meraih Ketenangan Jiwa

Apakah ada jalan penyelesaian yang tuntas untuk meraih ketenangan jiwa bagi menghadapi jiwa yang sempit ini?

Ya! Sudah semestinya ada!

Ketenangan itu milik Allah secara mutlak. Hanya Dia sahaja yang akan mencampakkan ketenangan ke dalam jiwa hamba hambaNya yang tertentu yang beriman.

Allah berfirman di dalam Surah Ar Ra'd ayat ke 28 :
أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
"Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia"

Nah! Begitulah caranya untuk meraih ketenangan jiwa yang berpanjangan. Hanya ada satu cara ini sahaja mampu untuk memperolehi ketenangan jiwa iaitu dengan "Zikrullah" yang bermaksud Mengingati Allah.

Maka ingatlah Allah banyak banyak! Jiwamu pasti akan tenang tenteram.

⚫ Cara Seharusnya Engkau Berzikir

Ada sebahagian orang berpendapat bahawa tidak tenang juga jiwanya walaupun sudah berzikir.

Masakan jiwamu mahu tenang,

Engkau kata inginkan ketenangan, lalu engkau lafazkan zikir yang banyak, tetapi engkau lupa menutupi auratmu.

Engkau lafazkan zikir tetapi engkau gemar mendengar aib saudaramu, engkau gemar memakan sumber yang syubhah dan haram, engkau curi masa majikanmu.

Engkau tahu berzikir lalu engkau lafazkan dalam keadaan engkau tidak ikhlas, engkau lafazkan zikir umpama ianya hanya adat semata dan zikir engkau lafazkan tetapi matamu masih gemar melihat yang haram.

Lepas itu engkau mengatakan "aku dah banyak berzikir, tetapi kenapa jiwa aku tetap juga tidak mahu tenang"? Lucu kan!

Persoalannya, apakah yang engkau faham tentang zikrullah? Dan bagaimana pula yang dikatakan zikrullah itu?

Zikrullah itu bermaksud mengingati Allah. Maka apabila engkau berzikir, pastikan bukan hanya kumat kamit mulutmu melafazkan zikir, tetapi keseluruhan jiwa serta anggota badanmu turut berzikir.

Iaitu jiwa dan anggota badanmu turut dalam ketaatan kepada Allah. Auratmu ditutupi, perutmu berisi hanya makanan yang halal, pakaianmu daripada duit yang bebas dari sumber syubhah dan haram, matamu sentiasa tunduk daripada melihat yang haram, sibukmu hanya dengan aib dirimu dan bukan aib saudaramu serta engkau ikhlas ketika berzikir.

⚫ Kesimpulan

Ketahuilah selepas engkau benar benar berzikir, Allah akan mencampakkan ketenangan dalam jiwamu lalu jiwamu menemui ketenangan hakiki yang berpanjangan.

Datanglah ujian yang hebat mengasak jiwa sehingga mengoyakkan kulit anggota badanmu, percayalah, jiwamu tetap akan tenang. Wallahu'alam

#AkhiAdifGorment
18 February 2018

No comments:

Post a Comment